english Kasihmu ke Akhirnya | MIMPIDHIA

Kasihmu ke Akhirnya



Suasana suram diikuti angin yang sepoi-sepoi bahasa pada pagi ini, menggambarkan betapa renyuk dan luruhnya hatiku yang sedang menangis di tengah-tengah tanah perkuburan ini.

"Linda janji dengan nenek, bila kau dah dewasa kelak jangan lupakan nenek yer". Itulah kata-kata yang selalu diucapkan nenek kepadaku.

Dia selalu berkata "Anak Linda nanti mesti rupa macam Linda. Hidung mancung, mata bulat,kening lebat, dagu berlekuk dan rambut ikal mayang. Nenek selalu berdoa kalau Allah nak ambil nyawa nenek, biarlah sampai nenek dapat tengok kau berkahwin dan ada anak sendiri".

Kata-kata itu selalu terngiang-ngiang di telinga apabila aku menatap wajah anakku. "Memang anak Linda seiras wajah Linda nek". Kataku di dalam hati namun air mata tidak henti mengalir lagi.

"Nek, kenapa ibu tidak jaga Linda nek? Kenapa Linda kena tinggal dengan nenek?".

Nenek tersenyum.

"Kenapa? Linda tak suka tinggal dengan nenek? Duduk dengan nenek susah yer? Linda tak dapat apa yang Linda nak yer".Persoalanku sering dibalas dengan persoalan juga dari nenek.

Hari begitu cepat berlalu, aku telah bersekolah kini dan nenek jugalah yang menjadi teman dan pembawa beg sekolahku. Bukan aku tidak mampu untuk membawanya sendiri tetapi nenek yang berdegil untuk memikulnya buatku. "Nek, nenek tak payah hantar Linda sampai sekolah yer?". Soalku pada suatu pagi.

Nenek cuma memandang penuh sepi dan berkata "Linda, linda malu ya nenek hantar Linda ke sekolah? Linda malu nenek bawakan beg sekolah? Linda malu nenek hantarkan makanan masa rehat? Linda malu nenek datang jemput Linda balik dari sekolah?". Begitulah setiap kali nenek tetap akan menjawab persoalanku dengan persoalannya yang tidak pernah dapat aku jawab kembali.

Apabila sudah berjaya di zaman persekolahan, ibu dan ayah datang untuk mengambilku supaya aku dapat menyambung pelajaran di peringkat tertinggi. Sebelum pergi aku berjumpa nenek meminta ampun dan peluk cium sempat ku berikan. Nenek sudah berlutut di tanah. Nenek menangis.
"Linda…tolonglah jangan tinggalkan nenek.

Nenek tiada sesiapa lagi dalam dunia ni cu, nenek jaga Linda dari Linda lahir lagi. Senang-senang mak bapak Linda datang ambil bila Linda dah dewasa macam ni". Kata nenek sambil memeluk pinggangku. Ibu dan ayah terjerit-jerit memanggilku. Aku terasa berat sangat untuk meninggalkan nenek tetapi apalah dayaku.

"Maafkan Linda nek, Linda terpaksa pergi. Tetapi Linda janji nek, Linda janji bila Linda dah Berjaya nanti, Linda datang ambil nenek. Linda janji nek..nenek tunggu Linda ya?". Kata-kata terakhirku sebelum melangkah pergi meninggalkan nenek yang masih lagi berlutut dan menangis.

Alhamdulillah. Aku telah Berjaya dalam pelajaran dan bekerja di sebuah syarikat besar sekarang. Aku telah berbincang dengan ibu dan ayah dan mereka pun telah bersetuju untuk mengambil nenek di kampung untuk tinggal bersama kami. Aku lah orang pertama yang terjun dari kereta apabila sampai di kampung halaman yang telah 3 tahun aku tinggalkan.

"Nenek!!! Nenek!! Linda dah balik nek!!". Jeritku tanpa menghiraukan kata-kata dan pandangan jiran tetangga. Nenek yang agak uzur itu aku peluk lantas nenek menjerit "Linda…jangan dipeluk-peluk nenek ni..nenek kotor ni baru balik dari sungai lepas membasuh basah baju ni cu". Kata nenek sambil menolak pelukan yang ku berikan.

Aku cuma tersenyum dan nenek ku cium berkali-kali. "Dari tempat busuk ni lah Linda membesar nek. Linda tak peduli semua tu. Busuk ke kotor ke ni nenek Linda, Linda sayang nenek". Nenek turut membalas pelukan ku sambil mengalirkan air mata gembiranya.

Dengan pangkat yang ku sandang sebagai pegawai kedua terbesar di syarikat kawan ayah. Aku begitu sibuk dan sering lewat pulang ke rumah. Ibu dah ayah selalunya sudah pun tidur. Aku tergamam melihat satu susuk tubuh di hujung sudut. Nenek yang bertelekung sedang mengaji itu terus ku hampiri.

"Nek…nenek belum tidur lagi? Dah lewat ni. Nenek pergi masuk tidur dulu ya, besok sambunglah lagi yer nek?". Kataku sambil ku peluk tubuh insan kesayanganku itu. "Linda dah makan?". Soalan pertama yang keluar dari bibir nenek. Aku cuma menggelengkan kepala. Sememangnya aku belum makan lagi kerana sibuk dengan kerja. Nenek juga menggelengkan kepalanya. Lantas ku tersenyum.

"Mari makan sayang, nenek tunggu kamu". Kata nenek lagi. "Nenek belum makan jugak? Lahh..kenapa nenek tunggu Linda ni? Nenek kena makan awal. Macammana kalau Linda tak balik-balik lagi dari tadi". Balasku kecewa dengan sikap nenek yang terlalu sayang sangat dengan cucunya ini.

"Biar esok pagi pun, nenek tetap tunggu Linda. Nenek tahu Linda selagi tidak siap apa-apa pun la kerjanya mesti Linda tak mahu makan". Balas nenek sambil nasi disendukkan ke pinggan. "Makan yer, nenek suap". Kata nenek lagi. Entah kenapa air mataku mengalir tubuh nenek ku peluk lagi.

Semakin hari hidup ini begitu ceria. Apatah lagi aku akan dinikahkan dengan seorang pemuda yang sangat aku cintai. Nenek orang yang paling gembira di hari persandinganku itu. Namun setelah genap sebulan aku menjadi isteri orang nenek telah berubah. Nenek sudah terlalu tua. Nenek mengalami penyakit pelupa.

Macam-macam perangai yang nenek buat. Kadang-kadang nenek terambil barang-barang orang.

Nenek suka menyimpan makanan dalam almari pakaian sehingga berbau busuk dan menjijikkan. Ibu dan ayah sudah tidak tahan dengan sikap nenek yang semakin hari semakin hilang arah. "Ya Allah, besar sungguh dugaanmu".Hari ini aku pulang awal dari biasa. Tepat jam 7 aku telah pun sampai. Selipar nenek tiada di hadapan, aku pelik.

"Ibu, nenek mana bu? Linda tak nampak pun selipar nenek, nenek pergi mana bu?". Ibu cuma mendiamkan diri. Entah kenapa aku begitu tidak sedap hati. Aku ulang kembali persoalan ku tadi. Lantas ibu meminta ku duduk sebentar lalu aku menurutinya."Kamu jangan marah ibu dan ayah pula, tadi nenek kamu terkencing. Sudahlah tak nak cakap. Lepas tu dia tak nak mengaku pula. Geramlah ibu". Kata-kata ibu itu membuatkan aku hilang arah. Air mata mengalir lagi.

"Mana nenek bu? Mana nenek Linda!!! Mana!!". Jerit ku kepada ibu. Aku tahu berdosanya aku meninggikan suara kepada ibu yang melahirkan aku, namun segala tanggungjawab seorang ibu itu telah dipikul oleh nenek. Dialah ibu, dialah ayah kepada ku selama hari ini.

"Ibu minta maaf Linda. Nenek kamu ibu dah hantar ke rumah Makcik kamu di Banting". Jawab ibu dan terus berlalu. Kereta terus ku pandu laju. Setelah meminta izin dari suamiku dengan berpakaian pejabat dan linangan air mata yang tidak henti-henti pedal minyak terus ku pijak menuju ke rumah makcik yang jauhnya memakan masa 3 jam dari rumahku.

"Maafkan Linda makcik, Linda tahu perbuatan Linda ni salah kerana bersikap kurang ajar dengan ibu, tapi…". Kata-kataku terhenti disitu.

"Linda..Linda..kamu kena ingat seburuk-buruk dan sebusuk-busuk dan seteruk mana pun yang ibu kamu pernah lakukan, dia tetap ibu kamu. Insan yang melahirkan biarpun bukan dia yang membesarkan kamu, telefon ibu kamu dan minta ampun dari dia..kamu faham tu?". Nasihat makcik membuat aku terdiam kaku.

"Nenek..Linda rindukan nenek". Nenek ku peluk walaupun dia sudah tidak kenal siapa aku lagi. Nenek cuba menolak dan cuba lari dari aku namun pelukanku teguh. Tidak akan sekali-kali pelukan ini berubah. Telefon di dalam beg ku capai.

"Assalammualaikum ibu".

"Waalaikumsalam, Linda? Kamu dimana ni?".

"Bu, Ampunkan dosa Linda bu..Linda dah berdosa dengan ibu".

"Takpe, ibu dah ampunkan. Ibu juga pernah buat salah dahulu. Maafkan ibu".

"Ibu, Linda juga sayangkan ibu, Cuma…Linda terlalu sayangkan Nenek".
"Linda. Ibu faham tu. Dia juga ibu kepada ibu". Besok balik ya".

Kata-kata ibu pada malam ini telah mematikan segala sangka burukku kepadanya selama 24 tahun ini. Berkahwin kali kedua dengan lelaki yang bukan pilihan nenek dan lari jauh dari keluarga benar-benar meninggalkan noktah hitam dalam hidup ibu. Ibu berhak memilih jalan hidupnya. Dia telah sedar dari kesilapan. Tiada insan yang tidak pernah terlepas dari membuat kesilapan.


"Rambut nenek kamu tu dah busuk sangat. Makcik nak mandikan dia tak nak. Makcik pula yang disimbahnya". Kata makcik. Aku tersenyum. Nenek yang sedang bercakap-cakap seorangan aku jelling. "Kesian nenek aku".

"Kau siapa uh? Kau nak bunuh aku yer? Kau buat apa ni?". Nenek menjerit-jerit di dalam bilik mandi. Aku menggunting rambutnya pendek. Kuku tangan dan kaki aku potongkan. Aku gosok dan berus kaki nenek yang kotor bermain lecak.

Setelah selesai mandi nenek tersenyum riang. "Tidak ubah umpama kanak-kanak kecil gembiranya dia". Bisik hatiku sambil menyisir rambut barunya itu. Pakaikan bedak, losyen dan minyak wangi kepada nenek. Tiba-tiba nenek berkata "Terima kasih, kau je layan aku baik-baik. Orang lain semua tak suka aku". Aku terkejut.

Tepat pukul tiga pagi.

"Ya Allah, mak. Apa yang mak buat ni? Masuk lah mak..hari dah malam ni". Aku terdengar suara dari bawah. Tidak syak lagi itu suara makcik. Segera aku menuruni anak tangga dan berlari keluar. Tiba-tiba hati terasa panas membara. "Sia-sia je aku bersihkan dia siang tadi, semua sia-sia je". Hati aku berbicara.

Aku terus keluar dari pagar untuk memujuk nenek masuk. Tetapi makcik menghalang dengan alas an nenek terlalu kotor bermain air longkang. Aku tidak peduli aku terus keluar.

"Masuk nek, masuklah..dah malam. Mari..Linda mandikan nenek ye?". Pujukku.

"Hei perempuan!! Kau siapa uh? Sebok-sebok jaga hal orang ni kenapa? Tiba-tiba nenek mengarut lagi.

"Nek, ini Linda nek. cucu nenek". Hibanya hati aku nenek tidak kenal cucunya lagi.

"Linda!! Masuk..masuk.. biarkan je orang tua tu. Dia dah nyanyok". Kata makcik sambil menarik aku masuk.
"Tidak makcik! Linda cuma akan masuk kalau nenek juga masuk". Aku cuba berkeras. Kerana aku tahu kadang kala ingatan nenek aku pulih seketika. Aku harus pandai memujuknya.

Tiba-tiba nenek menerkam kearah makcik, lalu makcik jatuh. Tangannya luka terkena batu. Aku terperanjat. Dengan perasaan marah yang membuak-buak kerana sikap nenek itu. Aku menyentap tangan nenek yang masih lagi menolak-nolak makcik yang telah terjelepuk di atas tanah.

"Masuklah!!!!! Menyusahkan orang je, orang nak jaga kau biar sehat, selamat, kau ni kenapa menyusahkan orang uh!!!". Tiba-tiba aku naik hantu. Aku tidak tahu bagaimana aku boleh menyakitkan nenek dan memakinya sebegitu rupa.

Nenek yang terperanjat terpinga-pinga. Dia menggosok-gosok tangannya. Mungkin sakit kerana sentapan aku tadi. Dia menangis. Manakala aku dipeluk kuat oleh makcik. "Sabarlah Linda, Demi Allah banyakkan sabar nak". Kata makcik lagi.

Awal pagi lagi aku bersiap-siap untuk ke tempat kerja. Baju kurung Aina, sepupu ku muat pula untuk aku pinjam. Sebelum keluar aku sempat menjenguk nenek. Tanganku hulur namun dia diam membisu. Merajuk gayanya.

"Tak nak salam dah.. orang pun malas nak layan". Lalu aku bangun dan menyusuri anak tangga.

"Nak pergi kerja ke?". Tiba-tiba nenek bersuara.

"Erm, nak pergi kerja". Balas ku pula. "elok pulak nenek ni". bisik hatiku.

"Kalau tak pergi kerja tak boleh?". Soalnya pula.

"Mana boleh, kerja banyak. Bukan boleh buat main-main". Balas ku lagi.

"Janganlah pergi, nanti nenek tak dapat jumpa Linda lagi". Kata nenek sayu.

"Apalah nenek merepek pagi-pagi ni? Sudahlah Linda dah lambat". Kata ku.

"Erm…yelah..jalan baik-baik yer..bye-bye". Kata nenek sambil melambai.

Masuk sahaja ke dalam kereta, hatiku tidak henti-henti berdengup kencang. Lantas telefon ku dail.

"Hello Lia, Linda sini. Kalau saya nak cuti kecemasan hari ni boleh tak?". Kataku kepada pembantu peribadiku Ellia."Erm..maaf puan Linda, hari ni puan ada perjumpaan dengan lembaga pengarah dan ini kali yang kedua sejak tertangguh bulan lepas". Jawab Ellia pula.

Dengan berat langkah, ku teruskan jua perjalanan ke ibu kota. Di dalam bilik mesyuarat tumpuan tidak dapat ku berikan. Aku cuma bermain-main dengan pen di jari manakala di dalam kepala ku cuma terdengar-dengar nenek memanggil namaku.

"Hello makcik, kenapa telefon Linda pagi-pagi ni? Linda tengah mesyuarat ni". Soalku apabila Ellia menghulurkan telefon.

"Linda…………..nenek kamu dah hilang". Kata suara di hujung talian. Lantas aku berlari meninggalkan bilik mesyuarat. Biarlah nak jadi apa pun, nenek harus aku utamakan. "Nenek tunggu Linda nek, Linda datang". Entah kenapa kata-kata nenek pagi tadi tiba-tiba bermain di fikiran. "Janganlah pergi, nanti nenek tak dapat jumpa Linda lagi". Ya Allah selamatkanlah nenek ku". Air mata mengalir.

"Makcik!! Apa yang telah terjadi ni?". Kata ku sebaik sahaja sampai ke rumah makcik. Ibu, ayah serta saudara mara yang lain turut ada sama. "Kenapa ramai-ramai ni? Ingat ni kenduri orang mati ke?!!" jerkah ku kearah mereka semua. Sememangnya semua tahu aku lah insan yang paling nenek sayang dalam dunia ni. Begitu juga aku.

Suami ku pun sampai setelah di maklumkan Pembantu ku Ellia. Tubuh aku di peluknya. "Sabar sayang,sabar ok". Bicaranya. Tiba-tiba sahaja hujan turun dengan lebatnya. Petir berdentum. Hari pula menjadi gelap.
"Mari semua, kita masuk dalam dulu, minum dan bersolat". Kata pakcik.
Semua saudara mara yang ada menuruti kata-kata pakcik tadi. Lantas aku bangun, genggaman tangan suami ku, aku leraikan.

"Woi!!! Korang ingat korang tengah berkelah ke? Hujan je nak masuk dalam,.. minum-minum, macamana dengan nenek Linda kat luar sana??

Dia dah hilang 7 jam yang lepas….ada korang fikir dia dah makan ke belum? Sehat ke tidak? Basah ke tidak? Ada ke korang fikir semua tu???!!!". Aku menjerit separuh gila.

"Linda!!!! Cukup tu cukup!!" tiba-tiba suamiku Rizal bersuara.

Air mata mengalir laju. Tidak pernah suami ku itu meninggi suaranya kepadaku. Baru dua bulan usia perkahwinan kami. Saudara mara ku yang lain terus masuk ke dalam rumah meninggalkan aku yang terduduk memeluk baju nenek sambil menangis.

"Linda….sayang. ingat kepada tuhan yang Esa. Setiap perkara yang terjadi semua adalah di atas kehendakNya. Kita cuma mampu sabar dan berusaha". Rizal mengurut rambutku lembut. Dia cuba memujuk.Wajah Rizal yang tenang ku renung.

"Tolonglah janji, tolonglah cakap kat Linda..nenek tak apa-apa bang..tolonglah..". aku merayu kaki Rizal ku peluk sebelum aku rebah.

"Sayang..Sayang..bangun solat maghrib". Suara Rizal dapat ku dengar.
"Nenek mana bang? Nenek Linda mana?". Soal ku sambil memicit-micit kepala.

"Sayang dengar cakap abang, kita solat dulu minta petunjuk dari Allah".
"Abang janji dengan Linda, lepas solat kita pergi cari nenek Linda".
"Abang janji sayang, abang janji". Kata Rizal sambil tersenyum.

Hujan masih lebat lagi diluar sana. Rizal berkeras untuk menunggu sehingga hujan berhenti baru keluar untuk mencari nenek. Namun aku tidak sabar lagi. Aku nak cari nenek. Aku nak bagi dia baju, mesti nenek sejuk. Aku nak bagi dia makanan, mesti dia lapar. Aku nak tidur dengan dia malam ni. "Tolonglah bang..tolonglahhh". rayu ku lagi.

Mungkin kerana kesian dan kasihnya di pada aku, Rizal meminjam motor sepupuku untuk keluar juga dalam hujan lebat itu untuk mencari nenek. Walaupun di larang keras Rizal supaya aku tinggal sahaja di rumah, aku tetap mahu mengikutnya. Aku mahu menjadi insan pertama yang menjumpai nenek, aku mahu memeluknya, menciumnya.

Rizal tidak berkata apa. Dia menuruti sahaja permintaanku yang sudah bagaikan hilang arah. Sepanjang perjalanan aku terjerit-jerit memanggil nenek. Malu?? Sudah tiada dalam diri aku lagi perkataan itu. Di setiap kedai, di setip rumah aku bertanya . namun semuanya sia-sia. Setelah dua jam berlegar-legar kami pulang dengan hampa. Aku pulang dengan deraian air mata.

Hujan masih belum berhenti. Aku demam. Aku memanggil-manggil nenek dalam tidurku, air mata tidak henti-henti mengalir. Itulah yang dikatakan Rizal sebaik aku sedar pagi itu. Usaha mencari diperluaskan lagi, kali ini melibatkan orang kampung, polis dan persatuan-persatuan kampung.

Hari kedua nenek hilang, tepat jam 7 malam. Satu panggilan aku terima. "Puan, sila hadir ke balai polis, pihak kami rasa kami telah jumpa mangsa yang hilang". Aku tersenyum lalu menjerit "Yeyyyyyyy!!! Nenek dah jumpa..siap-siap semua. Masak sedap-sedap, kejap lagi Linda bawa nenek balik". Kata ku membuat semua tercengang-cengang.

Sampai-sampai di balai, aku terus berjumpa pegawai polis yang bertugas. "Mana nenek saya encik?". Soal ku. Rizal tersenyum melihat perangaiku yang tidak sabar-sabar untuk berjumpa nenek. Pegawai itu menjawab "Puan yang terima panggilan mangsa hilang tu ye". Soal pegawai itu pula. Ku cuma menganggukkan kepala.Tiba-tiba keluar seorang lagi pegawai. Besar pangkat pegawai ini lagaknya.

"Puan Linda?". Katanya.

"Ye saya, saya Linda, mana nenek saya encik?". Balasku pula
"Macam ni puan, saya harap puan banyak-banyak bersabar..".

Belum pun ayat itu dihabiskan oleh pegawai berkenaan aku terus berdiri, meja aku hentak dengan tanganku sendiri.

"Apa masalah awak ni? Saya tanya mana nenek saya. Susah sangat awak nak jawab ni kenapa?". Soalku geram. Rizal turut bangun. Tubuhku dipeluknya. "Maaf puan, memang pegawai saya ada jumpa nenek puan, tetapi izinkan saya menjalankan tugas saya sebaiknya puan". Kata pegawai itu penuh adab.

"Baik…awak teruskan". Sambung ku lagi. Aku cuba bersabar.

"Adakah nenek puan berambut pendek? Memakai baju kurung hijau dan cincin hitam?". Soal pegawai itu.

"Ya…Ya…itu nenek saya. Memang dia pakai baju hijau semalam, dan memang dia ada sebentuk cincin mainan bewarna hitam. Dia jumpa cincin tu dekat jalan". Balas ku lebih lanjut.

"Kalau begitu, saya tidak syak lagi..mayat iaitu mangsa yang kami jumpai di Pulau Carey itu adalah nenek puan.. dan puan boleh buat pengecaman esok pagi di Hospital Banting". Kata pegawai itu lagi.

Aku bangun lagi sambil menghentak-hentak meja. "Encik polis or apa-apa aja lah awak ni? apa awak cakap tadi? Mayat??? Pulau Carey? Buat pengecaman?? Awak ni dah gila ke? Nenek saya hilang di Sijangkang…macamana boleh sampai ke Pulau Carey?? Dia tu pelupa macamana dia boleh berjalan sejauh itu.??? Awak ni dah gila lah!!!". Balas ku lagi.

Rizal bangun. "Linda..keluar duduk dalam kereta, telefon semua. Biar abang je uruskan semua ni". Kata Rizal dengan pandangan yang begitu tajam. Aku tahu aku begitu biadap dengan pegawai itu. Namun pegawai itu selamba sahaja dengan tingkahlaku ku itu. Dia memang seorang pegawai yang berkaliber.

Sebelum sempat aku melangkah, pemandanganku bertukar gelap lalu aku rebah lagi.

Sedar-sedar hari sudah pagi."Sayang…badan sayang panas ni. Sayang demam". Kata Rizal sambil meletakkan tuala basah di dahiku. "Nenek mana bang? Nenek…………………..". kataku sambil berlari ke bawah.

Diikuti oleh Rizal di belakang.

"Sayang??? kenapa ni?". Soal Rizal yang pelik dengan tingkahku.
"Nenek..nenek mana bang? Lin mimpi nenek hilang". Kata ku lagi.
"Astaqfirrullah, mengucap Lin..mengucap banyak-banyak. Kata Rizal.
"Nenek mandi ke bang? Nenek dah makan? Mana nenek bang?".

"Sayang…pergi mandi dulu dan siap. Kita nak pergi hospital. Jawab Rizal.

Setelah bersiap-siap aku dan Rizal menuju ke hospital. Ramai sangat saudara-mara ku di kawasan sekitar. Semua orang menangis-nangis. Aku berasa pelik. Kerana aku masih lagi rasa aku sedang bermimpi. Aku terus berjumpa makcik yang terdiam sesekali dia mengelap air mata yang menitik.

"Kita lawat siapa ni makcik?" kenapa semua orang nangis-nangis?". Persoalan ku tidak dijawab malah tubuhku terus dipeluknya. Rizal berada di sampingku sepanjang masa. Katanya dia risau sekiranya aku pengsan lagi nanti. Tiba-tiba keluar seorang doktor lagaknya. "Ada sesiapa lagi yang hendak melihat arwah? Sebelum kami mandikan dan kapankan". Kata doktor itu selamba.

"Saya..dan juga isteri saya". Balas Rizal tiba-tiba bersuara. Aku cuma memandang wajahnya penuh sepi mengharapkan secebis kata-kata. "Kita masuk,..tengok arwah buat kali terakhir ye sayang". akhirnya dia bersuara juga. Kakiku begitu lemah untuk berdiri. Lantai simen itu ku rasakan begitu lembut sekali.

"Maaf tapi sila tutup hidung tuan/puan kerana berbau busuk". Kata seorang pembantu perubatan di muka pintu bilik mayat. Aku lembik umpama tidak bertulang. Rizal memelukku erat. Segera di bantu aku bangun dan berjalan. "Untuk kali terakhir sayang..kuatkan semangatmu". Bisik Rizal lagi.

Sekujur tubuh di sebuah katil besi tidak berlapik tilam hanya ditutupi kain hijau, arwah kelihatan biru dan hijau, manakala gigi palsunya hilang ketika dia lemas. Begitu juga dengan sebiji matanya telahpun hilang terkeluar kerana terlalu lama berendam di dalam sungai.

Dengan tidak semena-mena tangan kanan ku angkat. Aku ingin menyentuhnya. Aku ingin memeluknya. Rizal dan semua yang berada di dalam bilik mayat itu menutup hidung dan ada yang hendak termuntah-muntah. Namun aku seperti biasa lagaknya. Seolah-olah hidung ini telah tertutup. Tidak ada bau apa-apa yang aku dapat rasakan.

"Maaf Puan, mayat tidak boleh disentuh, kerana ianya telah mereput dan lembik nanti kulit dan isinya akan melekat di tangan Puan. Baunya mungkin tidak akan hilang untuk seminggu dua ni". Kata Doktor pula.

Dengan segera Rizal menarik tanganku. Aku rebah lagi. Sedar-sedar aku berada di dalam kereta. Menuju ke tanah perkuburan. Van jenazah berada di hadapan kereta ku. Aku menangis tidak henti-henti.

"Nenek….inikah hadiah terkahir dari nenek untuk Linda?? Besok harijadi Linda nek? Selalu kita akan meniup lilin kek bersama-sama nek.. kini nenek dah tinggalkan Linda…linda tak akan sambut Harijadi Linda lagi nek..tidak tanpa nenek..". aku terus tertidur kerana keletihan.

Arwah nenek dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Jawa. Tempat kelahirannya.Nenek di sahkan meninggal kerana terjatuh di sungai berhampiran tempat tinggal makcik dan lemas lalu mayatnya di hnayutkan ke Pulau Carey yang berdekatan. Alhamdullilah seorang nelayan yang menjumpai mayat arwah. Aku masih menangis di dalam pelukan Rizal. Tubuhku begitu lemah untuk berdiri sendiri.

"Sayang…jangan menangis. Jangan sakiti arwah yang nak pergi. Redha la sayang..jangan seksa mayat dengan menangis teresak-esak begini. Dari sayang menangis baik sayang sedekahkan Al-Fatihah buat arwah". Kata-kata rizal menjadi pemangkin dan semangat buatku di ketika ini.

Setelah Setahun kehilangan nenek. Aku mengandung. Anak kelahiranku yang begitu di impikan nenek untuk ditatang selamat dilahirkan.

Sesungguhnya kehadiranmu umpama angin salju. Dingin menyegarkan kalbu..sentiasa mendamaikan jiwa yang sepi ini. Namun kau tetap akan berlalu..pergilah angin bawa rinduku padamu..

"Nenek..setiap detik, setiap masa doaku hanya untukmu". Amin. Amin. Ya Rabbal Alamin.

Share on Google Plus

About mimpidhia

BUKAN SEKADAR MIMPI... SHARING IS CARING ..SEGALA KOMEN ADALAH DI ALU ALUKAN...SPAMMER ADALAH DI LARANG.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment

Lazada Malaysia