english Samurai Terakhir Enggan Serah Kalah | MIMPIDHIA

Samurai Terakhir Enggan Serah Kalah



DIKENALI kerana sifat taat setianya berjuang untuk maharaja, beliau menjadi tentera terakhir bersembunyi di dalam sebuah hutan di Filipina walaupun Perang Dunia Kedua telah lama tamat.

Leftenan Hiroo Onoda bersama tiga lagi rakan seperjuangannya tetap mematuhi arahan pegawai atasannya selama hampir tiga dekad selepas dikerah ke pulau terkenci dikenali sebagai Lubang pada 1944 lalu.

Kumpulannya itu terus bersembunyi di kawasan hutan terbabit dan mereka melancarkan perang gerila selama beberapa tahun kerana masih tidak mempercayai peperangan telah lama berakhir.

Kesemua mereka enggan menyerah diri walaupun telah diarahkan berbuat demikian menerusi beberapa risalah yang turut mengesahkan kekalahan Jepun dalam Perang Dunia Kedua pada 1945.

Pada Disember 1959, Tokyo akhirnya mengisytiharkan kesemua mereka sudah meninggal dunia selepas gagal mengesan Onoda bersama tiga anggotanya.

Bagaimanapun, pada 1972, beliau terlibat dalam insiden berbalas tembakan dengan tentera Filipina hingga menyebabkan rakan seperjuangannya maut, namun Onoda sekali lagi berjaya melarikan diri.

Selepas bersembunyi selama tiga dekad, Onoda telah bertemu dengan seorang warga Jepun, Norio Suzuki yang berhasrat untuk menjejakinya pada Februari 1974.




NORIO SUZUKI BERGAMBAR DENGAN SENAPANG ONADA DI PULAU LUBANG, 1974.

Onoda masih enggan menyerah diri walaupun Suzuki sudah memujuknya dan menjelaskan bahawa peperangan sudah berakhir.

Beliau menegaskan hanya akan berbuat demikian jika menerima arahan daripada pegawai atasannya.

Onoda dilatih sebagai pegawai risikan yang ditugaskan untuk menangkis serangan musuh termasuk memusnahkan landasan pesawat dan dermaga di pelabuhan di pulau tersebut.

Beliau juga tidak dibenarkan menyerah diri dalam apa jua keadaan sekalipun.



Suzuki kembali semula ke Jepun bersama beberapa keping gambar sebagai bukti dan kerajaan segera menjejaki bekas pegawainya, Mejar Yoshimi Taniguchi yang telah bersara dan menjadi penjual buku.

Taniguchi diterbangkan ke Lubang pada 9 Mac dan bertemu dengan Onoda untuk memenuhi janji yang telah dibuat pada 1944, “Walau apa jua berlaku, kami akan kembali mencari kamu.”







Onoda akhirnya menyerah diri dan beliau turut mendapat pengampunan daripada Presiden Filipina, Ferdinand Marcos.

Sekembalinya ke tanah air, beliau dapati namanya terus menjadi bualan hangat oramg ramai dan sering ‘dikejar’ pelbagai pihak yang ingin melakukan temubual bersamanya.


Pada April 1975, beliau memutuskan untuk mengikut jejak langkah abangnya yang berhijrah ke Brazil.

Onoda melangsungkan perkahwinan kira-kira setahun selepas itu dan menjadi pemimpin masyarakat Jepun di Terenos, Mato Grosso do Sul.

Bagaimanapun, beliau kembali semula ke Jepun pada 1984 susulan insiden seorang remaja yang bertindak membunuh ibu bapanya dengan kejam pada 1980.





Ekoran kejadian menggemparkan itu, Onodoa menubuhkan kem pendidikan Onoda Shizen Juku yang dikhaskan untuk golongan remaja di beberapa lokasi di seluruh negara.

Onoda yang dilahirkan pada 19 Mac 1922 di daerah Kaiso, wilayah Wakayama akhirnya meninggal dunia pada 16 Januari 2014 di Hospital St. Luke’s International akibat masalah komplikasi jantung.


Share on Google Plus

About mimpidhia

BUKAN SEKADAR MIMPI... SHARING IS CARING ..SEGALA KOMEN ADALAH DI ALU ALUKAN...SPAMMER ADALAH DI LARANG.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment

Lazada Malaysia