english Secebis Kasih Semalam | MIMPIDHIA

Secebis Kasih Semalam




"SAYA cintakan awak Zikri! Benar!" ucap Fatihah, tulus.

Zikri tergamam. Dia benar-benar tidak menyangka yang wanita di hadapannya ini akan mengungkapkan kata-kata keramat itu padanya. Adakah dia sedang bermimpi? Tidak, Zikri yakin dia berada di alam realiti. Namun...

"Apa yang awak merepek ni Fatihah?"

"Saya tak merepek Zikri. Saya cintakan awak!"

"Sudah Fatihah! Saya rasa awak tak sedar apa yang awak cakapkan ni,"

Fatihah mengeluh perlahan. Sampai hati Zikri berkata begitu. Salahkah dia meluahkan apa yang dirasakan dalam hatinya pada lelaki itu? Rasa cinta ini satu dosakah?

"Saya serius Zikri. Saya dah lama cintakan awak. Sejak kali pertama mengenali awak ketika bekerja di syarikat ini, awak mula mendapat tempat di hati saya," tambah Fatihah lagi.

"Tapi awak tahu yang saya dah berkahwin bukan? "

Fatihah diam. Dia tahu Zikri pasti akan bangkitkan isu itu dan dia sudah siap-sedia dengan jawapannya.

"Saya tak kisah Zikri. Saya sanggup bermadu,"

Zikri tersengih. Sudah kurang waraskah wanita di hadapannya ini? Kebiasannya perkataan bermadu itu amat digeruni oleh setiap wanita tetapi berlainan dengan Fatihah. Mengungkapkan perkataan itu seakan tidak memberi kesan di hatinya.

"Awak pasti sedang bergurau Fatihah,"

Ah, apa lagi yang boleh dikatakan untuk meyakinkan lelaki ini bahawa perasaannya benar-benar tulus? Dia menyintai Zikri. Itu yang dia pasti. Zikri yang melihat mendung di wajah Fatihah mula mengerti. Fatihah tampak tidak bergurau.

"Kenapa awak cari masalah Fatihah?"

"Cinta tak boleh dipaksa Zikri. Saya tak mampu lagi membendung rasa sayang dalam diri saya untuk awak. Saya tahu, awak juga menyimpan perasaan yang sama terhadap saya cuma awak tidak mahu mengakuinya.

Zikri tersentak! Apa yang Fatihah cuba sampaikan? Dia juga menyintai Fatihah? Gila! Dia sudah berkahwin. Masakan dia sanggup berlaku curang pada isteri tercinta.

"Saya sanggup berhadapan dengan isteri awak,"

"Bercakap memang mudah Fatihah. Tapi ia tak semudah untuk melakukannya,"

"Belum cuba belum tahu Zikri," ucap Fatihah yakin.

Zikri hairan. Dari mana datangnya keyakinan dalam diri Fatihah? Apa yang lebih menggusarkan, kenapa dia yang jadi pilihan wanita itu?


SIARAN televisyen malam itu tidak dapat menarik perhatian Asmaul. Dia keletihan sebenarnya. Selepas ke klinik petang tadi, dia ke pasaraya membeli barang keperluan dapur. Buat masa ini, bolehlah dia berjalan lagi. Tiga atau empat bulan akan datang, pasti tidak larat untuk bangun.

"Assalammualaikum mama," tegur Zikri.

"Waalaikumussalam papa,"

"Assalammualaikum anak papa. Buat apa tu?" ucap Zikri sambil mendekatkan bibirnya pada perut isteri tercinta yang sudah lima bulan mengandung anak sulung mereka.

Asmaul merasakan sedikit gerakan dalam perutnya seolah-olah bayi dalam kandungan memahami apa yang bapanya tuturkan.

"Apa kata doktor tadi?"tanya Zikri.

"Doktor kata semua okey bang. Doktor suruh jaga pemakanan, jangan buat kerja berat sangat, takut keguguran pula," jawab Asmaul.

Zikri merebahkan kepalanya di perut isterinya lalu telinganya ditekapkan di situ. Bunyi yang keluar dari perut isterinya itu bagai irama merdu pada pendengarannya. Di dalam perut isterinya itu ada nyawa. Ada bukti kasih dan cinta mereka. Tidak sabar Zikri menanti kelahiran anak sulungnya itu.

"Macam mana kerja hari ni bang?"

Zikri segera mengangkat kepala namun dihalang oleh tangan lembut isterinya. Perlahan-lahan rambut suaminya itu diusap. Zikri terasa betapa kasih isterinya melimpah. Persoalan isterinya itu dibiar begitu sahaja. Zikri tenggelam dalam arus cinta Asmaul yang deras.

"APA lagi yang awak nak Fatihah? Berapa kali saya cakap, saya tak dapat terima awak," ujar Zikri sejurus mereka berdua selesai bermesyuarat dengan ketua jabatan pagi itu.

"Kenapa awak tak boleh terima saya?"

"Sebab saya dah beristeri dan bakal berkeluarga tidak lama lagi,"

"Jadi, bagaimana dengan perasaan hati saya ini?"

"Maaf, saya memang tak boleh terima," tolak Zikri.

Fatihah menundukkan wajah. Dia dimamah kecewa. Perlukah dia berputus harap? Perlahan-lahan dia berlalu meninggalkan Zikri keseorangan. Zikri hanya memandang sayu langkah Fatihah. Dia berasa simpati pada gadis itu. Mengapa dalam banyak-banyak lelaki di dalam pejabat, wanita itu memilih dirinya sedangkan Fatihah tahu yang dia sudah mendirikan rumah tangga? Bagi Zikri, Fatihah wanita yang hampir sempurna. Wajahnya persis seorang model.

Anak matanya berwarna coklat. Alis bibirnya tebal. Wajahnya bujur sirih ditambah dengan kulit yang seputih susu namun sedikit kemerahan. Rambutnya pula lurus hingga ke pinggang, ikal mayang, hitam seperti langit malam. Ramai jejaka di syarikat ini yang menginginkannya, tidak kurang juga ada yang cuba memikat hati namun semuanya ditolak. Zikri sendiri tidak mengerti mengapa dia yang jadi pilihan sedangkan ramai lagi anak-anak muda yang sebaya dengan Fatihah, yang lebih kacak, lebih bergaya dari dirinya.

Segugus nafas berat dileraikan dari dalam dada. Tidak Zikri nafikan, sejak mereka berkenalan, ke mana-mana sahaja mereka selalu berdua. Bukan sekadar suka-suka tapi kerana tugasan. Mereka bekerja di salah sebuah syarikat pelancongan dan menjadi tanggungjawab mereka untuk mempromosikan produk dan servis yang ditawarkan di syarikat itu. Oleh kerana itu mereka selalu keluar bertugas bersama ke luar, ke syarikat atau badan-badan korporat untuk menerangkan segala pakej pelancongan yang mereka tawarkan.

Terdetik di hati Zikri, apakah kerana mereka berdua selalu meluangkan masa bersama-sama, menyebabkan gadis itu menyimpan perasaan dalam hati untuk dirinya?

ASMAUL menyelak langsir jendela, melihat kelibat tetamu yang hadir di depan pintu pagar. Seorang gadis berkebaya rona hijau menyapa pandangannya. Siapa agaknya gerangan gadis itu? Lantas, Asmaul membuka pintu.

"Assalammualaikum, cari siapa?" tegur Asmaul apabila mereka bertentang mata.

Fatihah menilik wanita di hadapannya atas dan bawah. Jadi inilah isteri kepada Zikri. Tampak sederhana tapi manis dipandang.

"Waalaikumussalam. Puan Asmaul ke ni?" tanya Fatihah, walau dia sudah tahu wanita ini adalah isteri Zikri.

"Ya, saya Asmaul. Cik ni..."

"Saya Fatihah, kawan sepejabat Zikri," Fatihah memperkenalkan diri.

"Oh, jemputlah masuk," pelawa Asmaul.

Fatihah melangkah masuk ke dalam rumah. Matanya meliar ke sekeliling. Ruang tamu kelihatan begitu bersih dan kemas. Pasti isteri Zikri ini rajin orangnya.

"Duduklah dulu, saya ke dapur sekejap ya,"

"Ah, tak perlu susah-susah. Saya singgah sebentar saja," tolak Fatihah, sopan.

"Ala, air bujang saja. Duduklah dulu ya," balas Asmaul lalu segera ke dapur.

Fatihah melabuhkan punggung di atas sofa empuk rona coklat cair itu. Matanya singgah pada potret perkahwinan yang tergantung di atas dinding. Jelas terpancar sinar kebahagiaan di wajah kedua-dua mempelai. Serta-merta Fatihah diasak ragu. Perlukah diteruskan hasrat hatinya? Tegarkah hati isteri Zikri mendengar apa yang bakal dikatakannya sebentar lagi?

Beberapa ketika kemudian Asmaul datang semula ke ruang tamu sambil menatang dulang berisi seteko teh ais dan sepiring kuih donut. Dulang diletak di atas meja. Perlahan-lahan Asmaul menuang air teh ais ke dalam gelas.

"Jemputlah minum," pelawa Asmaul.

"Terima kasih. Rajinnya puan buat kuih,"

"Panggil Kak As je. Ala, akak duduk rumah tak buat apa. Goyang kaki je. Itu yang tergerak hati nak buat kuih sikit. Suami akak tu suka makan donut," ujar Asmaul membuatkan raut wajah Fatihah berubah.

Fatihah tersenyum kecil. Dia mengambil gelas lalu meneguk teh ais itu perlahan-lahan. Terasa segar kerongkongnya yang kering sebentar tadi. Maklumlah, cuaca panas di luar.

"Dah lama kerja dengan Abang Zikri?" tanya Asmaul, melanjutkan perbualan.

"Lama tu tak lama. Adalah dekat setengah tahun," jawab Fatihah.

Mereka duduk berbual, bertukar-tukar cerita. Asmaul gembira kerana ada teman untuk diajak berbicara. Tidaklah dia kesunyian hari itu. Dua puluh minit kemudian, Fatihah meminta diri. Niatnya untuk berkenalan dengan isteri Zikri termakbul sudah. Cuma tinggal hajat di hati untuk meminta kebenaran berkongsi kasih dari wanita itu. Tunggulah, saatnya akan tiba jua...

ZIKRI terlongo. Benarkah apa yang isterinya khabarkan tadi? Fatihah berkunjung ke rumahnya siang tadi? Nampaknya gadis itu tidak bergurau. Fatihah benar-benar mahu menjadi isterinya. Zikri mula dicengkam gusar. Apa yang perlu dia lakukan?

"Baik budaknya bang. Peramah, hormat orang tua," Asmaul memuji sambil menyandarkan kepala di bahu suaminya.

Zikri tersengih. Apakah ini taktik Fatihah? Mahu menambat hati isterinya agar wanita itu lembut hati lalu menerima Fatihah sebagai isteri kedua?

"Baik benar Shikin ni. Suami curang pun masih dia terima," Asmaul mengulas drama yang sedang ditonton di kaca televisyen.

"Hai, asyik benar awak menonton. Best ke cerita ni?" tanya Zikri sekadar mahu mengubah topik perbualan.

"Drama ni tengah popular sekarang bang. Isterinya punyalah baik, tapi suami dia tetap cari yang lain. Dahlah perempuan tu yang tanggung suami dia. Tak guna dapat lelaki macam tu," ujar Asmaul.

"Em, kalau abang kahwin lagi satu apa yang awak nak buat?" entah bagaimana laju sahaja persoalan itu keluar dari bibir Zikri.

"Kalau abang kahwin lagi satu? Oh, ada pasang niat ya. Tidur luarlah jawabnya!" usik Asmaul.

"Hahaha... abang gurau je. Awaklah satu-satunya dalam hidup abang, dunia akhirat," ucap Zikri lalu menghadiahkan sebuah kucupan di ubun-ubun isterinya.

TIGA bulan berlalu dan keadaan Asmaul semakin sarat. Sesekali Zikri akan menelefon ke rumah bagi mengetahui keadaan isterinya. Apabila tiba waktu rehat dia akan bergegas pulang ke rumah. Asmaul akan menyambutnya di muka pintu dengan senyuman. Tentang Fatihah, gadis itu tidak pula bertindak apa-apa yang mencurigakan.

Dia hanya berkelakuan seperti biasa bila mereka bekerja. Cuma sekali-sekala Fatihah akan berkunjung ke rumah, menemani isterinya. Itu pun kerana Asmaul yang tidak henti-henti bertanya tentang Fatihah.

Tengah hari Khamis itu Zikri tidak dapat pulang ke rumah kerana bertugas di luar daerah. Lantas Asmaul mengajak Fatihah datang makan tengah hari di rumah dan gadis itu terus bersetuju. Tepat pukul 12.30 tengah hari, kereta Kelisa yang dipandu Fatihah tiba di depan pintu pagar rumah teres dua tingkat itu.

Selepas menikmati makan tengah hari, Fatihah mengajak Asmaul berbual di halaman. Mereka duduk di atas bangku kayu yang disediakan di situ.

"Kak, saya..." Fatihah teragak-agak untuk meneruskan kata.

"Kenapa dik?"

"Saya ada sesuatu nak beritahu kakak. Tentang Abang Zikri,"

Asmaul mula berasa tidak sedap hati. Ada sesuatu yang burukkah telah dilakukan Zikri di belakangnya?

"Kenapa dengan suami akak tu?"

"Sebenarnya..." Fatihah cuba mencari kekuatan untuk meneruskan kata namun tidak ketemu.

"Sebenarnya apa? Ish, kamu ni buat akak berdebar-debar pula," ujar Asmaul.

Fatihah menarik nafas lalu dihembuskan perlahan-lahan. Dia sudah tidak mampu lagi menanggung perasaan yang semakin sarat dalam hati. Mungkin inilah masa yang sesuai untuk dia meluahkan segalanya. Apa nak jadi selepas ini, Fatihah sudah tidak peduli. Apa yang penting, hasrat hatinya terlaksana.

"Sebenarnya saya dah jatuh hati pada Abang Zikri kak," ucap Fatihah dalam satu nafas.

Seperti yang dijangka, riak wajah Asmaul berubah kelat. Fatihah tidak kisah. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.

"Saya cintakan Abang Zikri dan mahu jadi isterinya. Saya tak kisah bermadu kak. Saya sanggup terima. Asalkan kakak izinkan saya..."

"Cukup Fatihah! Fatihah sedar tak apa yang Fatihah cakap ni?" Asmaul menukas kata-kata Fatihah tadi.

"Saya sedar kak. Saya juga tak tahu macam mana saya boleh jatuh hati pada Abang Zikri. Bagi saya, bila bersama-sama Abang Zikri, saya rasa selamat. Rasa dilindungi," tegas Fatihah.

"Tapi kenapa suami akak? Kan ramai lagi lelaki bujang di luar sana?"

"Perasaan hati tak boleh dipaksa kak. Mungkin Abang Zikri jodoh yang telah ditentukan buat saya,"

Mencerlung wajah Asmaul mendengar tiap patah kata yang meniti di bibir Fatihah. Gadis ini tidak bergurau. Benar, ada api cinta yang menyala di dalam mata gadis itu. Persoalannya, mengapa Zikri yang menjadi pilihan?

"Abang Zikri tahu?"

Anggukan kepala Fatihah bagaikan belati yang menyiat-nyiat tajam hati Asmaul. Teringat perbualannya dengan Zikri dahulu.

"Em, kalau abang kahwin lagi satu apa yang awak nak buat?"

Oh, Tuhan! Tiba-tiba Asmaul rebah...

BILIK rawatan rapi itu masih belum dibuka. Masih belum ada khabar sejak satu jam yang lalu. Zikri mundar-mandir di hadapan pintu bilik tersebut. Dalam hati, cemas usah diteka. Jantungnya terasa bagai sedang melompat-lompat ingin menyerbu keluar. Seketika dia berhenti.

Memandang gadis berbaju kurung kedah rona biru laut berbunga kecil itu dengan pandangan meluat. Serasa mahu sahaja diterkam gadis itu. Entah apa yang telah dilakukan oleh gadis itu kali ini. Apakah Fatihah sudah menyampaikan hasrat hatinya pada Asmaul? Harap-harap tidaklah.

"Macam mana isteri saya boleh pengsan?" tanya Zikri, ingin tahu.

"Saya tak tahu," jawab Fatihah.

"Mustahil awak tak tahu. Kan awak bersama-sama dia waktu tu,’ balas Zikri.

Fatihah terdiam. Perlukah dikhabarkan pada Zikri tentang apa yang telah berlaku? Akan marahkah dia?

"Kenapa Fatihah?" Zikri mendesak.

"Saya beritahu dia tentang perasaan saya pada awak..."

Nah! Tepat sekali telahan Zikri tadi. Marahnya memuncak. Belum sempat dilampiaskan, pintu bilik ICU dibuka. Seorang doktor wanita keluar. Segera Zikri menyapa untuk mengetahui keadaan isteri dan anaknya.

"Isteri dan anak encik selamat. Isteri encik perlu banyak berehat. Tekanan darahnya agak rendah. Mungkin dia stress atau ada buat kerja berat," jelas doktor wanita itu.

Zikri memanjatkan kesyukuran pada Ilahi. Mujur isteri dan anaknya selamat. Dia menoleh mencari kelibat Fatihah tetapi gadis itu sudah tiada di tempat duduknya tadi. ke manakah dia menghilang? Ah, biarlah... isteri dan anaknya lebih penting dari memikirkan gadis yang menyusahkan itu.

ASMAUL membelek barang-barang yang ada di dalam bakul yang dijinjitnya. Sudah cukup rasanya bahan-bahan masakan untuk makan malam nanti. Asmaul merasa ada sedikit hentakan di perutnya. Bayinya menendang mungkin.

Perlahan-lahan dia mengusap perutnya yang semakin memboyot itu. Sudah tiga hari berlalu sejak dia kelauar dari hospital dan sejak itu langsung tiada khabar dari Fatihah. Ada juga dia bertanya pada Zikri dan suaminya itu mengatakan sudah tiga hari Fatihah tidak hadir ke pejabat. Asmaul tidak menyalahkan Fatihah. Dia faham apa yang Fatihah rasakan. Perasaan hati memang susah untuk diteka. Asmaul juga tidak menyalahkan Zikri. Dia tahu suaminya itu tersepit dengan keadaan.

Setelah merasakan hentakan di perutnya reda, Asmaul berjalan perlahan ke kaunter untuk membuat pembayaran. Dia ke pasaraya yang berdekatan tanpa pengetahuan suami. Kalau Zikri tahu, pasti teruk dia dimarahi. Bukan apa, Asmaul lemas duduk sendirian di rumah. Lagipun, dia ingin masak sesuatu yang istimewa untuk Zikri malam ini.

Selesai membuat pembayaran, Asmaul keluar menunggu teksi. Tiba-tiba anak matanya menangkap sebuah anak patung kucing yang comel yang dipamerkan di kedai cenderamata seberang jalan. Hatinya tercuit. Boleh juga dibeli sebagai hadiah untuk bayinya ini kelak. Lantas Asmaul berjalan perlahan-lahan menyeberangi jalan. Tanpa diduga, sebuah kereta bergerak laju merempuhnya. Jeritan Asmaul bergema dengan beg plastik yang dikendong bertaburan di atas jalan yang dilumuri darah pekat merah menyala.


KERETA yang dipandu berhenti mengejut apabila brek ditekan kuat. Fatihah mengesat peluh yang merenik di dahi. Apa yang berlaku sebentar tadi benar-benar di luar dugaannya. Sepantas kilat ia terjadi. Fatihah mengucap di dalam hati. Apakah yang telah dia lakukan? Ternyata nafsu telah berjaya memperdayakannya, mengheret dia melakukan tindakan yang kejam.

Jiwanya dilanda cemas. Kerana terlalu ikutkan perasaan, dia bertindak di luar kawalan. Sungguh, dia tidak berniat untuk mencederakan Asmaul. Dia hanya ingin menggertak namun entah bagaimana dia tidak mampu mengawal diri. Fatihah nekad. Dia menutup mata, membuatakan hati lalu melanggar Asmaul yang terkedek-kedek berjalan menuju ke kedai di seberang jalan.

‘Ya Allah! Apa yang telah aku lakukan?’ detik hati Fatihah.

Enjin kereta dihidupkan semula dan Fatihah bergegas ke hospital. Dia harus memohon maaf pada Asmaul. Dia tidak sengaja. Ya Allah, bantulah aku!

ZIKRI meraup wajahnya. Dia tertekan. Siapalah yang begitu kejam sehingga sanggup melanggar isterinya yang tidak bersalah itu? Apakah tiada perikemanusiaan dalam hati pemandu itu? Zikri tidak putus-putus berdoa di dalam hati agar isteri dan anak dalam kandungannya selamat.

"Zikri!" teriak Fatihah.

Zikri hanya memandang lesu langkah Fatihah yang menghampirinya. Buat apa gadis itu datang ke sini?

"Bagaimana dengan Kak Asmaul, Zikri?" tanya Fatihah, gusar.

"Aku tak tahu. Tadi doktor ada keluar sekejap. Katanya cedera Asmaul agak serius," jawab Zikri, acuh tak acuh.

"Ya Allah!" ucap Fatihah.

Bunyi pintu bilik ICU yang ditolak menarik perhatian mereka berdua. Zikri segera bertanya pada doktor lelaki yang keluar dari bilik itu.

"Maaf encik. Encik perlu bertenang. Kami sedang cuba sedaya-upaya kami. Namun saya kurang yakin yang kami mampu selamatkan kedua-duanya..." ujar doktor lelaki itu.

Zikri terduduk di atas lantai hospital. Fatihah  pula menggigil seluruh badannya. Dia telah jadi seorang pembunuh!

"Tolong doktor! Tolong selamatkan Kak Asmaul!" rayu Fatihah.

"Kita serahkan semuanya pada Yang Maha Esa. Berdoalah..."

"Doktor! Pesakit kehilangan banyak darah. Bekalan darah kita tak mencukupi!" ujar seorang jururawat.

"Dah periksa tabung darah?"

"Sudah doktor. Memandangkan darah pesakit dari kategori B+, jenis darah yang sukar diperolehi, bekalan darah di hospital ni tak cukup," jawab jururawat itu lagi.

"Cuba telefon hospital dan klinik yang lain. Saya..."

"Ambil darah saya doktor! Ambil darah saya!" sampuk Fatihah tiba-tiba.

"Darah awak dari jenis B+?" soal doktor tersebut.

"Ya," yakin jawapan Fatihah.

"Baiklah, ikut saya,"

Zikri hanya mampu memerhati langkah Fatihah yang membuntuti doktor lelaki itu masuk ke bilik ICU. Dia tidak mampu berkata-kata. Apa yang penting adalah keselamatan anak dan isterinya. Kalau sesuatu terjadi pada mereka, Zikri tidak tahu apa yang akan melanda dirinya...

HAMPIR dua jam berlalu dan akhirnya pintu bilik ICU dibuka semula. Zikri yang baru sahaja pulang dari mengerjakan solat Maghrib pantas mendapatkan doktor lelaki tadi.

"Bagaimana dengan keadaan isteri dan anak saya doktor?" soal Zikri, cemas.

Doktor yang memakai tag nama Syahar itu mengukir segarit senyum sekaligus menghadirkan kelegaan dalam hati Zikri.

"Alhamdulillah, pembedahan telah selamat dilakukan. Isteri dan anak encik masih belum sedar lagi. Keadaan kedua-duanya stabil buat masa ni. Tahniah atas kelahiran bayi perempuan yang comel," ucap doktor yang bernama Syahar itu.

"Alhamdulillah..." ucap Zikri, penuh makna.

Sesunguhnya rahmat yang Tuhan berikan amat tinggi nilainya. Syukur isteri dan anaknya selamat dari segala bahaya.

"Tapi, boleh saya tanya sesuatu?" pinta doktor bercermin mata itu.

"Ada apa doktor?"

"Encik kenal dengan perempuan bernama Fatihah?"

"Kenal, dia bekerja satu pejabat dengan saya,"

"Boleh encik hubungi keluarganya?"

"Setahu saya, dia anak yatim-piatu. Kenapa dengan dia encik?"

"Begini..."

BAU harum kemboja putih menular di segenap ruang udara tanah perkuburan itu. kesunyian bermaharajalela di mana-mana. Hanya desiran dedaun yang sesekali menampar pendengaran, sayu. Rakan-rakan sepejabat yang lain sudah lama pulang.

Tinggal Zikri keseorangan di tanah perkuburan itu. Asmaul dan anak perempuan mereka, Raudhah Fatihah masih ditempatkan di hospital buat sementara. Zikri menyandarkan kepalanya di batang pohon kemboja yang kekar. Jelas dia keletihan dan dilanda hiba.

Di hospital, Asmaul baru sahaja selesai membaca Yassin untuk disedekahkan pada arwah Fatihah. Pemergian Fatihah secara tiba-tiba memang sukar untuk diterima. Namun pengorbanan yang Fatihah lakukan akan tetap diingati sampai bila-bila. Fatihah menerima serangan jantung sewaktu melakukan pemindahan darah. Serangan jantung yang terus memisahkan nyawa dari jasad. Ketentuan Ilahi, tiada siapa dapat menduga.

Asmaul terasa kehangatan dalam tubuhnya. Darah yang mengalir dalam tubuh dia dan anak perempuan mereka sebahagiannya adalah darah milik Fatihah. Secara tidak langsung, Asmaul dapat merasakan kehangatan cinta Fatihah yang mengalir dalam jiwanya. Cinta Fatihah buat suaminya, Zikri. Seperkara lagi, Asmaul akan menyimpan perihal pemandu yang melanggarnya jauh dilubuk hati. Asmaul sempat melihat gerangan pemandu tersebut sebelum matanya terkatup rapat.

Asmaul mengerti yang Fatihah bertindak tanpa mengikut kewarasan akal. Dia tidak salahkan Fatihah. Fatihah masih muda. Cuma dia kesal kerana Fatihah terlalu ikutkan perasaan. sewajarnya gadis muda itu berfikir semasaknya dan tidak membiarkan hati yang dibelit nafsu mengawal diri.

Biarlah rahsia itu dikunci rapat-rapat. Kuncinya telah Asmaul tanamkan jauh-jauh di dasar hati yang paling dalam. Biarlah semuanya tinggal kenangan. Kenangan yang pahit walau ada terasa manisnya. Dan buat Zikri, secebis kasih dan ingatan Fatihah tetap akan abadi dalam hatinya sampai bila-bila.

Share on Google Plus

About mimpidhia

BUKAN SEKADAR MIMPI... SHARING IS CARING ..SEGALA KOMEN ADALAH DI ALU ALUKAN...SPAMMER ADALAH DI LARANG.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment

Lazada Malaysia