english Kucing Selamatkan Rumah Daripada Dipecah Masuk | MIMPIDHIA

Kucing Selamatkan Rumah Daripada Dipecah Masuk






SUBANG JAYA – Atas bantuan seekor kucing, rumah milik seorang kerani yang terletak Pangsapuri Indahria, Jalan Jubli Perak, Batu 3, di sini, terselamat daripada dipecah masuk, awal pagi Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.50 pagi itu, mangsa dikatakan sedang tidur telah terjaga selepas mendengar kucing peliharaannya tidak henti-henti membuat bunyi bising seolah-olah memberi amaran kepadanya.

Pelik dengan hal itu, mangsa berusia 39 tahun itu kemudiannya bingkas bangun dan membuat pemeriksaan sebelum mendapati ada seorang lelaki yang tidak dikenali berada di kawasan balkoninya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli, berkata, suspek yang terkejut apabila kehadirannya disedari tuan rumah telah melarikan diri.

“Suspek terus melarikan diri selepas menyedari kehadiran tuan rumah dan bersembunyi di dalam rumah sampah di tingkat 6 pangsapuri yang sama.

“Suspek dikejar dan berjaya ditangkap oleh seorang jiran sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tambahnya, hasil siasatan awal, pihak polis mendapati suspek merupakan pengawal keselamatan di pangsapuri yang sama yang baharu seminggu bekerja.

Suspek telah direman untuk disiasat dibawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.
Share on Google Plus

About mimpidhia

BUKAN SEKADAR MIMPI... SHARING IS CARING ..SEGALA KOMEN ADALAH DI ALU ALUKAN...SPAMMER ADALAH DI LARANG.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment

Lazada Malaysia